Dr Sheikh Muszaphar buat persiapan pulang

Laporan A Halim Yusof di Moscow


HASIL DINANTI: Dr Sheikh Muszaphar meletakkan kotak ketiga kajian sel di belakang panel kawalan untuk disimpan pada suhu paling optimum di ISS, semalam.

Soyuz TMA-10 bawa angkasawan pertama negara mendarat Ahad

KUALA LUMPUR: Angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha kini sibuk membuat persiapan untuk pulang ke bumi Ahad ini.

Beliau akan pulang bersama angkasawan Fyodor Yurchikhin dan Oleg Kotov menggunakan kapsul Soyuz TMA-10 yang digunakan oleh Yurchikhin dan Kotov ketika ekspedisi ke-15 ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) April lalu.
Pengarah Program Angkasawan Negara, Kolonel Dr Zulkeffeli Mat Jusoh, berkata kapsul yang membawa mereka bertiga itu dijangka mendarat di kawasan Arkylk di Kazakhstan, 1,500km dari Moscow, Russia.

Pada masa sama, Dr Sheikh Muszaphar perlu mengekalkan berat badan pada kadar 82 kilogram, seperti sebelum beliau berlepas ke ISS 10 Oktober lalu.

“Jika ketika berada di ISS berat badannya didapati meningkat melebihi 82 kilogram, dia (Dr Sheikh Muszaphar) dikehendaki menurunkan berat itu dengan melakukan senaman di bilik disediakan khas di ISS. Ia bagi memastikan kapsul Soyuz dinaikinya bersama dua angkasawan lain nanti seimbang,” katanya ketika dihubungi di Moscow.

Dr Zulkeffeli berkata, beliau akan berlepas ke Qostanay, Kazakhstan, tidak jauh dari tempat kapsul itu mendarat nanti untuk membawa angkasawan Malaysia itu ke Moscow.

“Saya perlu berada di sana untuk memeriksa kesihatan Dr Sheikh Muszaphar. Dia akan dibawa ke pusat perubatan sementara sebelum beredar ke lapangan terbang terdekat untuk pergi ke pusat latihan angkasawan Star City, Moscow,” katanya.

Soyuz TMA-10 yang membawa angkasawan Malaysia itu dijangka mendarat pada jam 2.37 petang waktu Moscow (6.37 petang waktu Malaysia). Tempoh untuk membawa angkasawan Malaysia itu ke Moscow mengambil masa lapan jam daripada waktu Soyuz TMA-10 mendarat.

Katanya, antara persiapan pulang yang dilakukan Dr Sheikh Muszaphar, termasuk memindahkan kerusi khasnya ke dalam kapsul Soyuz serta melakukan penyenaraian peralatan yang bakal dibawa nanti.

Angkasawan Malaysia itu dibenarkan membawa peralatan seberat tujuh kilogram saja termasuk hasil penyelidikan dan barang persendirian.

“Sepatutnya dia dibenarkan membawa lima kilogram saja, tetapi selepas berbincang dengan Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA), kita diberikan tambahan dua kilogram lagi,” katanya.

Dr Sheikh Muszaphar turut menjalankan penyelidikan untuk ESA dalam bidang penyelidikan kesan mikro graviti terhadap bahagian belakang badan, persepsi pergerakan, daya ketahanan sebelum dan selepas penerbangan ke ISS serta kestabilan penglihatan dan badan.

Dua angkasawan yang berlepas bersama Dr Sheikh Muszaphar iaitu Komander Peggy Whitson dan Jurutera Penerbangan, Yuri Malenchenko akan menggantikan Yurchinkhin dan Kotov. – Bernama

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: